madah hati

Ramai manusia sibuk setiap hari membersihkan dan mencantikkan diri yang lahir. Tapi anggota batinnya dibiarkan kotor dan berdaki. Padahal rusaknya kehidupan di dunia berasal dari kekotoran batin

Sunday, 4 January 2009

BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA

Mendidik manusia bermaksud mendidik insaniahnya. Insaniah manusia pula terdiri daripada empat elemen iaitu akal, roh atau hati, nafsu dan fisikal atau jasmani. Ke­empat-empat elemen inilah yang perlu dididik dan dibangunkan. Hasil dari pendidikan insaniah, lahirlah kemajuan insaniah atau­pun apa yang kita namakan pembangunan insan. Apabila insan telah terbangun, lahirlah akhlak yang baik, manusia yang jujur, berkasih sayang, pemurah, takutkan Tuhan, bertaqwa, menguta­ma­kan orang lain, yang bisa berbuat baik kepada orang yang ber­buat jahat padanya dan berbagai-bagai lagi sifat mulia. Semen­tara dari pendidikan material atau kebendaan maka terhasillah kemajuan lahiriah dan kemajuan fisikal.

Sumber dan Dasar Mendidik Manusia

Untuk membangunkan insaniah dan mendidik manusia ini, asas-asas didikan dan dasar-dasarnya telah Tuhan nyatakan di dalam A1 Quran:

Maksudnya: “Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasehat yang baik dan berbahaslah dengan mereka secara yang baik.” (An Nahl: 125)

Berdasarkan ayat di atas, Tuhan menerangkan bahwa hen­dak­lah kamu mengajak manusia kepada Tuhanmu. Artinya, menga­jak kepada syariat, aqidah dan juga tasawufnya atau akh­laknya. Seterusnya untuk menegakkan kebenaran, menegak­kan jemaah, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya hendaklah melalui tiga dasar yang utama:

1. Bil Hikmah (dengan hikmah)

2. Bil Mauizatul Hasanah (dengan nasehat yang baik)

3. Wajadilhum billati hiya ahsan (berbahas dengan cara yang baik)

Berdasarkan kepada tafsiran ayat di atas, di sini asas dan dasar-dasar sistem pendidikan Islam yang disebutkan itu dikembangkan dan diperluaskan supaya teknikalnya dapat difahami dan ianya dapat digunakan sebagai panduan.

1. Bil Hikmah (Dengan Hikmah)

Maksud hikmah ialah ilmu di dalam ilmu. Iaitu hati yang senantiasa dipimpin oleh Tuhan. Artinya orang yang hendak men­didik orang lain itu hatinya senantiasa dipimpin. Ilmunya sangat mendalam dan seni. Ilmunya bagai lautan dan berlapis-lapis. Ia faham mengenai ilmu akal, roh atau hati, nafsu dan jasad. Orang yang tidak ada hikmah, ia akan mendidik secara kasar saja. Manusia susah untuk melakukan perubahan. Didikannya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Justru itu, untuk mendidik manusia kepada Tuhan, mendidik manusia kepada syariat Tuhan dan mendidik insaniah kepada berakhlak, ilmu hikmah mestilah ada. Pendidik itu sendiri perlu benar-benar tahu dan memahami mengenai manusia, iaitu akal­nya, minatnya, kekuatan berfikirnya, kecenderungannya, bakat­nya, nafsunya dan fisiknya. Ia faham tentang psikologi manusia. Supaya teknik-teknik yang diaplikasikan dalam pembelajaran dan pendidikan mendatangkan kesan kepada pelajar. Pendidik yang berhasil ialah pendidik yang benar-benar memahami dasar yang pertama ini iaitu bil hikmah. Ia benar-benar faham empat elemen dalam diri manusia iaitu:

1. Memahami akal manusia

2. Memahami roh atau hati manusia

3. Memahami nafsu manusia

4. Memahami fisikal atau jasad manusia

2. Bil Mauizatul Hasanah (Dengan Nasehat yang Baik)

Setelah seorang pendidik mempunyai hikmah, iaitu memahami ilmu mengenai manusia tentulah dia hendak memulakan pen­didikan. Di sini timbul persoalan cara pendekatan dan teknik mana yang hendak digunakan? Apabila merujuk kepada Al Quran, kaedah (method), pendekatan atau uslub perlaksanaan pen­di­dikan inilah yang dikatakan ‘Mauizatul Hasanah’ yang berarti nasehat-nasehat yang baik. Oleh itu, dalam mendidik perlu meng­gunakan nasehat-nasehat yang baik yang bisa kita pelajari dari Al Quran seperti berikut:

Role Model

Seorang pendidik yang bercita-cita hendak mendidik manusia mestilah menjadi role model kepada murid-muridnya di dalam semua sudut kehidupan. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kepada umat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada contoh yang baik untuk kamu bagi sesiapa yang meng­ha­rapkan Allah dan hari Akhirat.” (Al Ahzab: 21)

Sejarah Rasulullah SAW juga bisa menjadi panduan bagai­mana role model itu berlaku. Suatu hari seorang ibu datang me­nemui Rasulullah SAW bersama anaknya. Dia mengadu kepada baginda perihal anaknya yang terlalu suka makan manisan. Aneh­nya, Rasulullah SAW tidak memberi apa-apa nasehat tetapi me­minta ibu itu menemuinya kembali di minggu depan.

Seminggu kemudian ibu tersebut menemui Rasulullah SAW bersama anaknya, lalu baginda berkata, “Wahai anak, kurangkan makan manisan.” Ibu itu terus berkata, “Wahai Rasulullah, kalau itu saja yang ingin tuan ucapkan, mengapa tidak disebut saja minggu kemarin.” Rasulullah SAW menjawab, “Sebenarnya saya juga sukakan manisan tetapi oleh karena ingin menasihati anak ini, su­dah seminggu saya tidak makan manisan.” Begitulah Rasulul­lah, dalam soal sekecil itu pun, baginda sendiri melaksanakan dahulu apa yang ingin baginda ucapkan.

Oleh itu, seorang pendidik mesti menjadi role model kepada orang yang hendak dia didik:

1. Kalau hendak kenalkan orang dengan Tuhan, pendidik perlu mengenal Tuhan dahulu.

2. Jika hendak suruh orang cintakan Tuhan, pendidiklah perlu mencintai-Nya dahulu.

3. Kalau hendak menyuruh orang takutkan Tuhan, pendidiklah yang perlu takut Tuhan dahulu.

4. Jika hendak membaikkan orang, pendidik perlu baik dahulu.

5. Kalau hendak suruh orang berakhlak, pendidik perlu ber­akhlak dahulu.

Allah mencela orang yang mengajak manusia ke arah kebaikan tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya sepertimana firman-Nya:

Maksudnya: “Adakah kamu menyuruh manusia berbakti dan kamu lupakan dirimu sendiri sedangkan kamu mem­baca kitab. Mengapa kamu tidak berfikir?” (Al Baqarah: 44)

Bahkan Allah amat murka kepada orang yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak pandai mengkota. Firman Allah:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, menga­pa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat, amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” (As Saff: 2-3)

Di dalam kitab Matan Zubad disebutkan:

Maksudnya: “Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab lebih dahulu daripada penyembah berhala.”

3. Wajadilhum Billati Hiya Ahsan (Berbahas dengan Cara yang Baik)

Kita perlu tahu, di dalam pendidikan, kita juga akan berhadapan dengan golongan dewasa yang cerdik dan berpelajaran. Mereka pula terikat dengan bermacam-macam ideologi dan anutan agama. Contohnya profesor atau ahli falsafah yang berfahaman sosialis, kapitalis atau sebagainya. Bukan suatu yang mudah bagi pejuang dan pendidik untuk membawa mereka kepada Tuhan. Untuk membuatkan mereka faham, cinta dan takut Tuhan se­hing­ga mereka terasa bangga dengan syariat Tuhan. Dengan itu pe­juang dan pendidik mesti menguasai ilmu akal yang bersifat falsafah.

Oleh karena di dalam pendidikan ini, kita akan berhadapan dengan berbagai golongan penganut agama dan ideologi, sudah semestinya kita harus faham segala macam ilmu. Seorang murabbi mesti faham ilmu politik, ilmu masyarakat, ilmu manusia, ilmu psikologi, ilmu kebudayaan, isu-isu semasa, hal-hal dunia dan lain-lain. Sebab bila timbul perbincangan terhadap sesuatu isu, mereka ada pandangan dan kita bisa menangkis hujah mereka. Contohnya, bila timbul perbincangan tentang Tuhan, kalau mereka menolak Tuhan, kita ada hujah. Begitu juga bila mereka menolak syariat, kita bisa menangkis hujah mereka dengan hujah kita.

Sekiranya begitu gambaran seorang murabbi yang hendak men­didik seseorang atau sesuatu kelompok atau bangsa kepada Tu­han, supaya manusia cinta dan takut kepada Tuhan, supaya ma­nusia berakhlak dan membangun mengikut kehendak Tuhan, artinya seorang pendidik yang ingin berhasil mesti terlebih dahulu memiliki ilmu hikmah, ilmu kaedah mendidik dan mampu me­ngua­sai ilmu yang lain secara meluas.

Hari ini para pendakwah, ulama-ulama, para pendidik, ustaz-ustaz, ilmunya sangat singkat, dangkal dan terbatas. Sedangkan ramai di kalangan mereka yang hafaz Al Quran dan tidak kurang juga yang hafaz Hadis. Tapi malangnya apa yang mereka keluar­kan hanyalah terjemahan semata-mata. Mereka tidak mengikut kaedah mauizatul hasanah (nasehat-nasehat yang baik) dan juga kaedah wajadilhum billati hiya ahsan (berbahas dengan cara yang baik). Mereka tidak mengikut perkembangan dan isu semasa. Walhasil, setelah 30 tahun menjadi pendidik dan menjadi pen­dakwah, tidak ada seorang pun yang masuk Islam di tangan mereka.

Bagi jemaah Islam pula, dari mula jemaah itu dibangunkan, setelah 30 tahun berjuang, mampu pula menarik 100 ribu orang ahli tetapi sebuah model kedai kecil pun masih belum terbangun. Apa yang tidak kena dengan mereka? Mereka asyik berjuang tetapi ilmu hikmah mereka lupakan dan ilmu kaedah perbin­cangan mereka ketepikan. Natijahnya (hasilnya), berpuluh tahun berjuang, tidak ada sebarang perubahan walaupun zaman terus berubah. Di sinilah kegagalan pejuang-pejuang Islam, walaupun sudah lama berjuang, musuh-musuh Islam sudah berkembang maju, mereka tetap di tempat yang lama. Akhirnya, timbul rasa sakit hati bila melihat pembangunan yang dibuat oleh musuh, se­dang­kan mereka berjuang bagi pihak Tuhan tetapi tidak mem­bangun, maka marah dan mengamuklah mereka. Akhirnya me­reka men­jadi militan.

Apabila menjadi militan, hakikatnya mereka mengundang resiko yang lebih besar. Mereka akan ditekan oleh Amerika, Barat dan negara-negara musuh yang lain. Hasilnya umat Islam yang tidak bersalah pun dipersalahkan. Musuh tidak akan melepaskan peluang yang ada maka seluruh umat Islam dituduh militan. Agama Islam dan pejuangnya sering dikaitkan dengan pengganas manakala umat Islam terus-menerus menerima tekanan.

Sebagai kesimpulan, untuk membangunkan insaniah manusia hingga benar-benar menjadi hamba dan khalifah Allah yang mampu memakmurkan dunia ini dengan pembangunan dan ke­ma­juan yang bersih tanpa kekotoran bukanlah suatu kerja yang mudah. Hanya utusan Tuhan yang terdiri dari kalangan rasul dan mujaddid saja yang mampu memikul tugas ini. Sekiranya ulama-ulama yang lain faham hal ini, mereka tidak akan mem­buka gelanggang dan wadah sendiri. Mereka akan ikut mujaddid.

Sewaktu ada rasul, walaupun ada ulama, mereka wajib mengi­kut rasul. Begitu juga halnya di zaman adanya mujaddid, para ulama mesti mengikut mujaddid sekalipun mereka hafaz Al Quran dan Hadis. Perlu diingat, hanya mujaddid saja yang Tuhan janjikan. Tetapi pada hari ini, semua yang mendakwa dirinya ulama, ingin membuka wadah dan gelanggang perjuangan sendiri. Akhirnya tidak ada satu gelanggang pun yang berhail akibat tidak dapat memahami kehendak-kehendak Tuhan dalam hal-hal semasa. Sebahagian daripada mereka sebenarnya amat faham perlunya mengikut mujaddid tetapi nafsu sombong yang menghalang mereka daripada menerima kebenaran yang dibawa oleh mujaddid.

Demikianlah gambaran secara ringkas bagaimana mendidik insaniah manusia. Baru kita faham, untuk mendidik manusia bukan kerja yang mudah. Ia tidak semudah membangunkan material. Karena itulah membangunkan material bisa dibuat oleh sesiapa pun. Tetapi kerja membangunkan insaniah tidak boleh dilaksanakan oleh sebarang orang. Bagi orang yang faham kenyataan ini, dia mesti bersama orang Tuhan dan bersama mujaddid, barulah perjuangan mengenalkan Tuhan dan syariat-Nya akan berhasil.

No comments:

Post a Comment