Umat manusia di akhir zaman, baik yang Islam, bukan Islam, pemimpin, ulama maupun rakyat jelata, semuanya sudah jauh daripada matlamat (tujuan) hidup sepertimana yang dikehendaki oleh Tuhan. Tuhan sekadar disebut-sebut di lidah saja, bukan dari hati yang penuh cinta dan takutkan-Nya. Islam hanya sebagai slogan bukan untuk diamalkan.
Karena itulah kemurkaan Tuhan pun datang ke atas kehidupan manusia dalam berbagai-bagai bentuk dan sangat menakutkan. Ia terjadi dengan tujuan hendak menghukum manusia ataupun hendak menyadarkan manusia. Ia mengingatkan manusia agar kembali kepada Tuhan.
Namun demikian manusia masih dengan halatuju hidup yang sama dan enggan kembali kepada Tuhan. Buktinya apabila hendak menyelesaikan sesuatu masalah manusia merujuk dengan akal semata-mata, bukan merujuk kepada wahyu dari Tuhan.
Apabila manusia mengingkari Tuhan
Al Quran memaparkan kedegilan umat-umat para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Umat Nabi Nuh, umat Nabi Idris, umat Nabi Musa, umat Nabi Lut, umat Nabi Isa dan lain-lain begitu ingkar dengan rasul mereka dan Tuhan. Sedangkan Tuhan sudah hukum, sudah datangkan berbagai-bagai bencana, namun mereka tidak sadar dan tidak insaf juga. Bahkan mereka makin memusuhi para rasul dan nabi.
Rupa-rupanya apa yang berlaku sekarang, watak manusia sama saja. Kalau dulu degil, sekarang pun degil. Kalau dulu mereka mengancam orang yang membawa mesej dari Tuhan, sekarang juga berlaku penentangan terhadap kekasih-kekasih Tuhan. Baik secara sadar atau secara tidak sadar, manusia kini juga sangat mendurhakai Tuhan.
Bahkan pada pandangan saya, sebahagian umat kini lebih jahat dari umat dahulu. Mengapa? Orang dulu buat jahat tidak dikaitkan dengan Tuhan, tidak dikaitkan dengan Islam. Sekarang ada yang buat jahat dengan menjual nama Islam dan nama Tuhan. Islam dikedepankan hanya dari segi percakapan, tetapi perbuatan mereka sangat bertentangan dengan ayat Tuhan. Hasilnya orang awam dan orang yang jahil tentang Islam jadi terkeliru. Dulu orang tidak terkeliru. Contoh, Namrud menentang Islam bukan atas nama Islam. Abu Jahal menentang Islam pun bukan juga atas nama Tuhan.
Pada saya maksiat paling besar di akhir zaman adalah apabila orang buat jahat atas nama Islam, orang buat ingkar atas nama Tuhan dan orang menghancurkan Islam atas nama Islam. Inilah bala akhir zaman dan inilah dia pancaroba akhir zaman.
Karena itulah di kurun ini Tuhan akan utuskan orang-Nya. Iaitu pemimpin dari Tuhan dan pengikut-pengikut pemimpin itu juga dari Tuhan, untuk memperbaiki apa yang ada sekarang. Mereka akan menunjukkan jalan menuju Tuhan melalui syariat Tuhan.
Bacalah atas nama Tuhan
Sekiranya umat Islam ikhlas dalam segala hal, di dalam kehidupannya maka cara hidup, cara berkemajuan, cara membangun, cara berjuang adalah mudah dan indah saja. Tuhan berfirman di dalam surah Al ‘Alaq:
Maksudnya: “Hendaklah kamu membaca atas nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Al ‘Alaq: 1)
Mengapa di dalam ayat ini Tuhan tidak berkata, hendaklah kamu maju atas nama Tuhan? Mengapa Tuhan tidak berkata, berjuanglah atas nama Tuhan? Mengapa Tuhan tidak berkata, hiduplah atas nama Tuhan, membangunlah atas nama Tuhan, berekonomilah atas nama Tuhan? Mengapa Tuhan memilih perkataan, “Bacalah atas nama Tuhanmu?”
Di sini ada dua perkara yang akan dibahaskan iaitu:
1. Baca
2. Atas nama Tuhan
1. Baca
Bila kita gunakan falsafah akal, membaca maksudnya belajar. Tuhan kata belajar, karena dengan belajar dapat ilmu. Dari ilmu kita bisa membangun. Tanpa ilmu tidak bisa membangun. Tanpa ilmu, kita tidak bisa berjuang. Tanpa ilmu, tidak bisa maju. Tanpa ilmu, kita tidak bisa bangunkan pendidikan. Itulah sebenarnya maksud bacalah yang diperintahkan Tuhan melalui ayat ini.
Artinya Tuhan pilih perkataan yang paling tepat tetapi isinya syumul, menyeluruh dan global. Semuanya bersumber dari situ. Hendak maju dari ilmu, hendak berjuang dengan ilmu, hendak bangunkan ekonomi, pun dengan ilmu. Pendidikan dan kebudayaan juga dibangunkan dengan ilmu. Ilmu diperolehi dari membaca dan belajar.
Fahamlah kita kalau digunakan perkataan, ‘Hendaklah kamu membangun atas nama Tuhan,’ itu tidak syumul. Begitu juga perkataan berjuang atas nama Tuhan dan lain-lainnya. Tetapi apabila Tuhan mengambil perkataan, ‘Hendaklah kamu baca atas nama Tuhan,’ barulah syumul. Hasil membaca, kita mendapat ilmu dan jadi pandai, bisa membangun dan sebagainya. Kalau tidak ada ilmu, bagaimana hendak maju, membangun, berkebudayaan dan berekonomi? Artinya akal bisa menerima bahwa dalam hidup ini hendak maju di sudut mana pun mesti bertitik tolak dari ilmu dan ilmu itu adalah hasil daripada membaca dan belajar.
2. Atas nama Tuhan
Di sini seolah-olah Tuhan berkata: “Belajarlah, majulah, berjuanglah, membangunlah, berekonomilah, berpendidikanlah, berkebudayaanlah, mentadbirlah dan berhiburlah, semuanya mesti dilakukan atas nama Aku. Dunia ini Aku punya. Semua makhluk kepunyaan-Ku. Lalu kalau hendak bertindak dari sudut mana pun mesti dengan cara Aku. Jangan sekali-kali ikut cara kamu.”
Beginilah indahnya bilamana Tuhan telah beri satu formula dan anak kunci kepada manusia yang berbagai etnik dan bangsa. Iaitu apabila hendak bangunkan dunia melalui ekonomi, kebudayaan, kemajuan, supaya tidak bergaduh, tidak berperang sesama sendiri maka mestilah dibuat atas nama Tuhan.
Tuhan adalah pengikat, anak kunci kepada perpaduan sejagat. Kalau semua orang, semua etnik, semua bangsa, membangunkan dunia walau di sudut dan aspek mana pun atas nama Tuhan, ia akan terikat atas dasar Tuhan. Ia akan maju dengan selamat, membangun dengan selamat, berekonomi dengan selamat dan berkebudayaan dengan selamat. Karena masing-masing semuanya menuju Tuhan. Tidak ada permusuhan dan tidak ada pergaduhan.
Berbuat karena selain Tuhan penyebab perpecahan
Bilamana manusia belajar bukan atas nama Tuhan, mendapat ilmu bukan atas dasar Tuhan, hasil ilmu itu pula ia maju bukan karena Tuhan, membangun, berekonomi, berjuang, berkebudayaan juga tidak atas nama Tuhan, maka dunia akan rusak dan kehidupan manusia akan jadi huru-hara.
Mengapa? Karena kemajuan di sudut mana pun sangat mempengaruhi individu, keluarga, etnik dan bangsa. Bilamana manusia belajar, berilmu dan kemudian membangun atas nama pribadi masing-masing, keluarga masing-masing, kepentingan kelompok masing-masing, etnik masing-masing dan bangsa masing-masing, maka di situ sudah ada unsur perpecahan.
Kalau ada dua orang yang masing-masing berbuat di atas kepentingan diri masing-masing, di situ pun boleh berlaku persaingan yang tidak sehat. Itu baru dua individu dengan kepentingan masing-masing. Bagaimana kalau banyak kelompok, banyak etnik, banyak bangsa dan banyak ideologi? Bayangkan berapa ribu etnik yang ada di dunia? Bayangkan kalau antara bangsa dengan bangsa, ideologi dengan ideologi, hendak rebut dunia yang hanya satu saja.
Umpama kalau kita ke gelanggang silat tapi tidak diprogramkan, tidak disistemkan dan tidak diaturkan. Siapa suka boleh bersilat dengan rentak masing-masing baik Silat Gayung, Silat Jawa atau Silat pencak. Maka akan bergaduh dan huru-haralah di gelanggang itu.
Dunia ini adalah gelanggang tempat manusia bersilat dan menyajikan pelbagai kemajuan. Kalau tidak didisiplinkan atas nama Tuhan, masing-masing berbuat dengan ilmu masing-masing maka hasilnya inilah yang berlaku di dunia sekarang. Akibatnya tiada siapa yang senang dan tenang. Manusia sedang sakit dan dalam kepayahan.
Apalah arti maju jika hidup dalam keadaan huru-hara dan ketakutan. Apalah arti maju jika peperangan terus berlaku. Apalah arti maju jika penyakit dan gejala sosial terus bertambah. Semuanya Tuhan lakukan adalah untuk menghukum manusia yang durhaka kepada Tuhan.
Bencana akibat berkemajuan karena selain Tuhan
Sekiranya manusia bertindak membangunkan dunia walau di aspek mana pun, jika bukan atas nama Tuhan, itu dikatakan syirik dengan Tuhan. Syirik bukan hanya bermaksud menyembah berhala. Itu adalah syirik jali (syirik besar).
Beribadah dan berbuat segala sesuatu kerana selain Tuhan adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Membangunkan ekonomi bukan atas nama Tuhan adalah syirik. Berkebudayaan bukan atas nama Tuhan, juga adalah syirik. Berpendidikan dan berjuang bukan atas nama Tuhan adalah syirik. Sebab itulah Tuhan murka lantas Tuhan turunkan bala sehingga berlaku huru-hara, pergaduhan dan peperangan di kalangan manusia.
Memang dunia bertambah maju tetapi manusia sentiasa di dalam ketakutan dan kebimbangan. Memang dunia maju tetapi di dalam bahaya. Apalah arti semua kemajuan dan kemodernan itu? Kalau kita bandingkan sejarah manusia di zaman kuno dengan zaman modern ini, walaupun ramai manusia yang cerdik di zaman ini tetapi sentiasa ditekan ketakutan dan kebimbangan. Waktu kini ramai manusia yang bunuh diri. Empat ribu tahun dahulu, manusia tidak bunuh diri. Mengapa di zaman ramai orang pandai dan berkemajuan, ramai yang bunuh diri? Karena kemajuan itu tidak bisa mengobat orang yang sakit jiwa malahan ia menjadi penyebab kepada penyakit jiwa.
Jiwa manusia sudah kosong dari rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Bahkan manusia sudah tidak kenal Tuhan dan tidak dapat merasakan Tuhan berperanan di dalam setiap detik dan aspek kehidupan insan. Manusia sudah lupakan Tuhan sebagai tempat mengadu dan tempat bergantung. Maka jalan keluarnya adalah bunuh diri.
Jadi, umat Islam kalau hendak berbuat apa pun mestilah atas dasar:
a. Ilmu
b. Atas nama Tuhan
Ianya satu formula yang mudah dan indah. Dunia bisa selamat, manusia bisa selamat dan pembangunan boleh selamat bila pembangunan dibuat atas nama Tuhan dan karena Tuhan. Buatlah apa pun, majulah, membangunlah tetapi biarlah atas nama Tuhan. Ini sesuai dengan ikrar kita setiap hari kepada Tuhan di dalam sembahyang:
“Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah pentadbir sekalian alam.” (Al An’am: 162)
:) Salam
ReplyDeleteHanya mahukan pendapat shj. Benarkah kandungan fashahah diari mengajak untuk meninggalkan al-furqan ataupun mengagungkan fashahah diari itu sendiri?
wasSalam