madah hati

Ramai manusia sibuk setiap hari membersihkan dan mencantikkan diri yang lahir. Tapi anggota batinnya dibiarkan kotor dan berdaki. Padahal rusaknya kehidupan di dunia berasal dari kekotoran batin

Saturday, 3 January 2009

ILMU SAJA TIDAK CUKUP

Ramai orang berpendapat bahwa ilmu itu segala-galanya. Kalau ada ilmu, maka semua masalah akan selesai. Mereka merasakan ilmu adalah alat untuk menyelesaikan segala masalah. Ini termasuklah ilmu agama atau ilmu Islam. Ramai yang merasakan bahwa kalau seseorang itu mempunyai ilmu agama yang banyak hingga dia digelar ulama, maka dia mampu menyelesaikan segala masalah.

Sebenarnya, ini sangat jauh tersimpang dari kebenaran. Memang tidak ada siapa yang boleh menafikan bahwa ilmu itu penting dalam mencari kebenaran dan menyelesaikan masalah. Tetapi ilmu saja tidak cukup. Ilmu itu ibarat pedang, semakin banyak ilmu, semakin tajam pedang itu. Tetapi kalau tidak tahu bagaimana hendak menggunakan pedang, pedang yang tajam pun tidak ada makna apa-apa. Hanya kita bisa tunjukkan pada orang kalau ada pedang tajam. Hendak gunakan tidak tahu. Kalau begitulah hakikatnya, kita bisa dikalahkan oleh orang yang hanya bersenjatakan batu.

Di samping ilmu, kita perlu tahu bagaimana cara hendak menggunakan ilmu atau pedang kita itu. Tambahan pada itu, kita perlu ada kemahiran menggunakannya dalam semua keadaan. Kita mesti tahu menggunakan pedang kita itu sambil berdiri, sambil duduk, sambil berbaring, sambil melompat, sambil berlari maupun ketika kita sedang menunggang kuda sekalipun.

Barulah pedang itu betul-betul berguna untuk kita.Untuk itu, ada ilmu saja tidak memadai. Orang yang ada ilmu itu dikatakan orang pandai. Pandai sebab dia ada ilmu. Sebab dia belajar. Sebab dia berguru. Sebab dia bermetelaah. Itulah dia hakikat orang pandai. Lawannya ialah jahil. Orang jahil ialah orang yang tidak ada ilmu.

Orang pandai atau orang berilmu tidak semestinya bijak. Orang berilmu tidak semestinya cerdik. Untuk mampu mempergunakan ilmunya sebaik mungkin, seseorang itu mestilah juga cerdik dan bijak. Akalnya mesti tajam. Dia mesti bisa memahami dan bisa membaca keadaan. Dia mesti bisa mentafsir masyarakat. Dia mesti bisa melihat perubahan. Dia mesti bisa menilai suasana. Dia mesti bijak dalam mengapplykan ilmunya. Dia mesti bisa membaca gerakan musuh. Dia mesti bisa memandang jauh ke hadapan. Dia mesti bisa melihat punca masalah. Dia mesti bisa mendahulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian. Dia mesti bisa bertindak tepat pada masa, tempat dan keadaan. Ini semua kerja orang cerdik dan orang bijak. Sekedar pandai dan ada ilmu saja tidak memadai. Dia akan ketinggalan jauh ke belakang dan akan mudah diperkotak-katikkan dan diperalatkan oleh orang.

Pandai itu bisa diusahakan. Sesiapa saja yang belajar dan berguru, lama kelamaan akan jadi pandai juga dan dapat ilmu. Orang yang otaknya baik sedikit, cepat dan banyaklah ilmu yang dia dapat. Yang otaknya kurang baik, lambat dan sedikitlah ilmu yang dia dapat. Tetapi sifat cerdik dan bijak tidak bisa diajar. Dia adalah anugerah dari Tuhan. Siapa yang Tuhan jadikan cerdik, maka cerdiklah dia. Siapa yang Tuhan jadikan bijak, maka bijaklah dia.

Soal pandai dan bisa mengumpul ilmu adalah semata-mata kerja akal. Tetapi soal cerdik dan bijak ada kaitan dengan hati dan roh. Siapa yang hatinya bersih dan rohnya berperanan, dia selalunya cerdik dan bijak. Dia sentiasa terdorong, terbantu dan terpandu. Di samping itu, akalnya juga terlihat ketajamannya. Cahaya rohaninya mempengaruhi akalnya.

Ulama yang tidak cerdik dan tidak bijak, kemampuannya hanya terhad kepada mengajar ilmu dan menjadi abid atau ahli ibadah. Dia tidak pandai menyelesaikan masalah. Dia tidak proaktif. Dia tidak ada bakat pemimpin. Dia terpisah daripada suasana dan alam sekeliling. Kadang-kadang dia mudah ditipu, diperguna, dikotak-katik dan diperalatkan oleh orang-orang tertentu. Orang yang ada kuasa selalunya tidak hormat dan memandang rendah terhadapnya.

Ulama yang cerdik dan bijak pula, dia mempunyai wibawa yang tinggi. Dia mampu menyelesaikan masalah. Dia ada sifat kepimpinan dan manusia suka merujuk padanya. Dia banyak berkecimpung dan terlibat dengan masyarakat. Dia sangat peka tentang apa yang berlaku di sekelilingnya dan apa yang berlaku di seluruh dunia. Ilmunya mencangkup segala hal. Bukan saja hal agama, bahkan juga hal politik, ekonomi, pendidikan, antarabangsa, hal-hal semasa dan sebagainya. Orang yang ada kuasa selalunya takut dan bimbang dengan ulama yang seperti ini. Ulama yang tidak cerdik dan tidak bijak, ramai mana pun bilangan mereka di dalam masyarakat tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan. Tetapi ulama yang cerdik dan bijak, cukuplah seorang. Masyarakat akan berubah. Hidup beragama akan terlihat. Masyarakat akan terbawa menuju kepada kebenaran, keadilan dan hidup berTuhan.

Friday, 2 January 2009

AL QUR'AN

Al Quran itu adalah kitab yang paling ajaib. Ia bukan akal. Ia dari Tuhan. Bahasanya mudah tetapi indah. Walaupun mudah, ia tidak bisa ditiru, tidak dapat diubah, dibuang atau ditambah. Ini telah terbukti beberapa kali. Telah dicoba oleh musuh tetapi dikesan juga akhirnya. Membacanya ialah ibadah. Memahaminya ialah obat. Mengikutinya adalah petunjuk dan menghayatinya adalah iman dan taqwa.

Susunan ayatnya, bukan syair, bukan sajak dan bukan pula gurindam. Ia bukan novel dan bukan cerpen. Ia bukan sastera.

Ia juga bukan falsafah walaupun ia mengandungi falsafah. Di dalamnya ada hukum, ada panduan, ada perintah, ada tegahan, ada hiburan dan ada peringatan.

Bahasanya, susunannya dan isinya dikagumi oleh ahli bahasa. Ditakjubi oleh para sasterawan. Diangggap aneh oleh ahli filasuf dan dianggap sihir di zaman jahiliah.

Di dalamnya ada cerita yang membawa berita. Dalam cerita ada hukum dan dalam hukum ada cerita.

Ada berbagai perumpamaan di dalamnya yang membuka segala rahasia. Tentang dunia dan akhirat. Tentang jasmani dan rohani. Tentang mukmin, kafir dan munafik. Tentang watak-watak manusia, malaikat dan jin. Tentang peristiwa yang sudah terjadi dan bakal akan terjadi.

Tidak ada perkara yang tercicir dari Al Quran. Semua ilmu berkenaan ciptaan Tuhan terkandung di dalamnya. Ilmu yang paling besar ialah mengenal Tuhan dan hal-hal tentang akhirat. Juga tentang jin, syaitan dan manusia.

Al Quran adalah ilmu di dalam ilmu. Ia menguatkan jiwa dan mengobat hati. Ia penajam mental dan fikiran. Ia petunjuk kepada kedamaian, keselamatan dan keharmonian. Ia membersihkan kemungkaran, penzaliman dan penindasan. Ia dapat melahirkan tamadun dan kebudayaan. Menggali mutiara dari Al Quran ini, sampai bilapun tak akan habis. Menatapnya pula, sampai bila pun tak akan jemu.

Setiap ayat, maksudnya berlapis-lapis. Ada pendapat yang mengatakan sampai 70 lapis, mengikut tafsiran-tafsiran yang bertambah dari masa ke semasa di setiap zaman. Al Quran itu umpama laut. Setiap hari kita mengambil ikan dan khazanah dari laut namun ia tidak pernah habis.

Kitab nabi-nabi lain diturunkan seketul, selonggok dan sekaligus. Tetapi Al Quran diturunkan berperingkat-peringkat selama 23 tahun.

Al Quran diturunkan ke langit pertama pada bulan Ramadhan. Kemudian ia diturunkan kepada Rasulullah sedikit demi sedikit. Terdapat 114 surat dan 6,666 ayat di dalamnya mengikut qaul yang termasyhur. Di antara ayat-ayat ini, hanya 500 saja yang menyentuh tentang hukum hakam. Selebihnya menyentuh tentang hal lain.

Di antara ayat-ayatnya, ada yang Makiah iaitu yang diturunkan sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Banyak ayat Makiah turun di Mekah tetapi ada juga yang turun di tempat lain seperti di Thaif. Ada pula ayat Madaniah iaitu yang turun selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah. Walaupun kebanyakan ayat Madaniah turun di Madinah tetapi ada juga ayat Madaniah yang turun di Mekah. Makiah atau Madaniah bukan dikira di mana ayat itu turun tetapi masa ia turun samada sebelum atau selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Ada ayat Safariah iaitu yang turun semasa Rasulullah sedang bermusafir. Ada pula ayat Qadariah yang turun di waktu Rasulullah tetap dan bermukim.

Ada ayat yang Lailiah iaitu yang turun pada waktu malam dan ada ayat yang Nahariah iaitu yang turun di waktu siang. Ada ayat yang dibawa oleh malaikat Jibrail dan ada yang datang terus dan direct dari Tuhan.

Ada ayat yang Muhkamat atau ayat yang jelas maksudnya. Ada ayat yang Mutasabihah atau yang tidak jelas atau samasamar maksudnya.

Ada ayat yang Nasikh atau masih boleh dipakai dan ada ayat yang Mansuh atau yang telah dibatalkan oleh ayat yang lain. Setiap ayat ada Asbabun Nuzulnya atau sebab turunnya ayat. Asbabun Nuzul ini boleh jadi karena ada orang yang bertanya. Atau keadaan pada satu-satu masa itu memerlukannya. Ataupun sebagai satu didikan (contoh ayat berkaitan dengan arak) atau untuk menerangkan hukum.

Susunan surah di dalam Al Quran seperti yang kita lihat sekarang bukanlah seperti mana yang ia diturunkan. Surah pertama yang diturunkan ialah Al ‘Alaq dan bukan Al Fatihah. Surah An-Naas bukanlah surah yang terakhir diturunkan. Susunan yang ada sekarang ialah mengikut Tauqif atau susunan bacaan oleh Rasulullah SAW

Pada awalnya, Quran ini banyak dihafal. Ada juga para sahabat yang menulisnya pada pelepah kurma dan kulit binatang. Mashaf yang bertulis ini dikumpulkan di zaman Khalifah Usman. Lima naskhah bertulis dihasilkan untuk diedar kepada lima wilayah jajahan Islam sebagai naskhah rujukan. Mashaf ini dinamakan mashaf Osmaniah. Mashaf ini dikembangkan lagi pada zaman khalifah Umar Abd Aziz.

Cetakan pertama Al Quran dibuat di Jerman oleh orang Yahudi yang tinggal di negara tersebut untuk tujuan mengkajinya. Kebetulan, ketika itu teknologi percetakan sangat maju di negara Jerman.

Al-Quran ditafsir berbagai cara. Antaranya, Al Quran ditafsir dengan ayat Quran juga. Atau dengan hadis. Atau dengan atsar (kata-kata para sahabat). Atau dengan ijtihad. Akhir sekali dengan ilham. Yang mampu mentafsir Al Quran dengan ilham ini tidaklah ramai.

Seperti juga kitab-kitab lain, Al Quran disampaikan melalui Rasul. Ia tidak datang tanpa Rasul. Kerana Rasul diperlukan untuk memberi penerangan, tafsiran dan menjadi contoh. Rasulullah SAW itu contoh bagi umat Islam. Dia adalah Quran yang hidup. Cara hidup Rasulullah itu Quran. Akhlak Rasulullah itu Quran. Kalau kita dapat meniru cara hidup dan akhlak Rasulullah, ini bermakna kita telah beramal dengan cara hidup dan akhlak Al Quran.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Al Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia (yang terdapat) pada kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuz). Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan semesta alam. Maka apakah kamu menganggap remeh saja Al Quran ini?” (Al Waqiah: Ayat 77-81).

Isi Al Quran telah banyak dihuraikan. Dari huraian Al Quran, lahirlah tokoh-tokoh tafsir seperti Fakhruddin Al Razi, Ibnu Abbas, Ibnu Kathir dan lain-lain lagi. Lahirlah tafsir Al Razi, tafsir Ibnu Abbas, tafsir Ibnu Kathir, tafsir Thabrani, tafsir Khazin dan tafsir Jalalain.

Tafsir-tafsir itu ada yang pendek seperti tafsir Ibnu Abbas dan tafsir Jalalain. Ada tafsir sederhana panjang seperti tafsir Ibnu Kathir. Ada yang panjang seperti tafsir Al Razi. Apa yang dia jumpa, dibongkar dan dihuraikan kesemuanya.

Ada ahli-ahli tafsir yang membawa ilmu khusus dibidang-bidang yang tertentu saja mengikut ilmu dan minat yang ada pada mereka. Mana yang minat bahasa dan sastera, dihuraikan dalam aspek itu saja. Ada yang menghuraikan hukum-hakam sahaja. Mana yang minat di sudut sains, dihurai di sudut sains sahaja. Ada yang menghurai tentang cerita dan berita , tentang sejarah, falsafah dan lain-lain lagi. Ada juga yang menghuraikan tentang fekah sahaja iaitu huraian tentang wajib, sunat, haram, makruh, harus, syirik jali, murtad dan sebagainya.

Di dalam Al Quran terdapat berbagai-bagai ilmu dan istilah. Di zaman Rasul bidang-bidang ilmu dan istilah ini sangat terbatas. Di zaman itu ilmu belum dibagi-bagikan. Ia datang seketul. Ilmu Islam belum terpecah. Muslim itu orang Islam. Kufrun itu orang kafir. Fasiqun itu orang fasik. Zalimun itu orang zalim. Mukmin itu orang yang beriman.

Di zaman itu juga tidak disebut Tauhid tetapi aqidah. Tidak disebut Fiqih tetapi syariat. Ilmu tafsir tidak pernah disebut. Istilah tafsir datang pada era sahabat. Di waktu itu barulah lahir ilmu dibidang fekah, usul fiqih, tafsir, usul tafsir, tauhid, usuluddin, mantiq, falsafah dan sebagainya.

Dari Quran dan hadis, umat Islam kaya dengan aset ilmu. Di zaman Rasul disebut: • Iman • Islam • Ihsan

Iman itu aqidah, Islam itu syariat dan Ihsan itu tasawuf. Selepas itu baru lahir berbagai-bagai istilah dari aspek ilmu-ilmu ini.

Maka lahirlah tokoh-tokoh fiqih seperti Imam Malik, Imam Shafie, Imam Hambali, Imam Nawawi dan Imam Sayuti. Lahir tokoh-tokoh ilmu Tasawuf seperti Junaid Al Bahgdadi, Syeikh Kadir Al Jailani, Imam Al Ghazali, Imam Nawawi, Imam Sayuti dan lain-lain.

Lahirlah juga tokoh bahasa seperti Ibnu Malik. Tokoh-tokoh sejarah seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Hisham dan Ibnu Kathir. Tokoh-tokoh hadis seperti Al Bukhari, At Tarmizi, Ibnu Majah, Muslim, An Nasai dan lain-lain.

Makin jauh ke hujung, lahir pula mazhab-mazhab. Masing-masing ada cara dan kaedahnya yang khusus dan tersendiri untuk mendekatkan diri dengan Allah.

100 tahun kebelakangan ini, timbul pula orang yang menentang mazhab dan tasawuf. Mereka kata tidak ada mazhab atau tasawuf dalam Islam. Inilah golongan Wahabi. Tokoh-tokoh mereka membuka luas pintu ijtihad tetapi kemampuan mereka dengan orang-orang sebelum mereka tidak sama dan tidak setaraf. Orang yang tidak tahu bahasa Arab pun mau ijtihad juga. Mereka meniti di atas terjemahan Al Quran. Ini tidak betul dan tidak boleh.

Maka lahirlah ahli-ahli fikir barat yang beragama Islam. Fikiran ahli-ahli fikir ini tidak sama dengan fikiran ahli-ahli fikir Islam tulen. Mereka dikatakan ahli fikir Islam hanya kerana mereka orang Islam. Namun fikiran mereka tetap kebaratan. Ini termasuklah orang seperti Nurkhalis Majid. Ramai orang keliru dibuatnya

Dari mereka lahir bermacam-macam mazhab dan ilmu yang asalnya dari sumber Al-Quran dan hadis, tetapi telah jadi sesat. Ada orang sesat di atas ilmu. Ada pula orang sesat dalam ilmu. Tak ubah seperti orang yang sesat dalam bandar udara. Berputar-putar di tempat yang sama.

Lahir ahli falsafah seperti Ibnu Arabi, Al Farabi, Al Kindi, Ibnu Sina, Ibnu Rusd, Al Biruni dan Al Khawarizmi. Ini zaman bahaya sebab ahli-ahli falsafah ini telah terpengaruh dengan pemikiran barat. Takut-takut mereka ini menonjol akal lebih dari roh. Ada sesetengah dari mereka yang minum arak.

Barat sangat berminat menonjolkan tokoh-tokoh ini sebab pemikiran mereka sesuai dengan pemikiran Barat. Ada orang Islam yang sangat mengkagumi mereka ini hingga malu dan tak senang hendak sebut nama Imam Al Ghazali, Junaid Al Baghdadi, Imam Hassan Ashaari, Imam Sayuti dan lain-lain. Mereka anggap tidak standard. Orang lebih suka menyebut Ismail Faruqi, Al Maududi, Hasan Al Bana, Mohd Abduh, Syed Qutub, Iqbal, Rasyid Redha, Jamaluddin Al Afghani, Qardawi, Malik bin Nabi dan lain-lain.

Tokoh seperti mereka ini disebut-sebut dan yang dahulu dilupakan. Hasilnya Islam jadi buah mulut. Hanya diperkatakan tetapi tidak diamal dan dihayati. Ilmu Islam hanya sebagai bahan syarahan, kajian dan ilmiah. Bukan untuk diperjuangkan.

Orang lebih banyak bicara Islam untuk mendapat sara hidup. Islam dikomersilkan dan dijadikan bahan ekonomi.

Tokoh-tokoh modern dan mutakhir, hanya memperkatakan ilmu. Mereka tidak dapat mengamalnya. Kalau amalpun hanya untuk diri sendiri, tidak untuk orang lain. Masyarakat terbiar.

Sebab itu, setiap 100 tahun, ada mujaddid. Mujaddid tidak bawa hukum-hakam tapi mempersembahkan hukum dengan sebaik mungkin hingga orang Islam dapat mengamal dan menghayatinya. Supaya orang kenal, cinta dan takut kepada Tuhan. Hingga lahir semula syiar-syiar Islam melalui kaedah yang diberi oleh Tuhan. Setiap mujaddid diberi kaedah nya yang tersendiri. Dia saja yang dapat. Orang lain tak dapat.

Di tangan mujaddid ini akan lahir kelompok baru, etnik baru hingga menjadi contoh. Mereka berbeda dengan orang dan masyarakat lain. Seolah-olah dalam kelompok yang serba hitam, ada kelompok yang putih dan bercahaya.

Thursday, 1 January 2009

SEIKHLAS KELAPA TUA

Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diindahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan isu apa-apa atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pohon dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pohonnya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesai kena jolok-jolok macam tu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berputar-putar ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan sekira lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Waduh! Kalau sembarang buah, bisa pecah. Kalau kepala orang, bisa berceceran otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ saja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya. Siksanya tak bisa diceritakan. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung saja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Bagus juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi siksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah siksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diremas-remas dan diperah-perah. Alangkah tersiksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh sudut rumah, maka orang pun bertanya: “Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?” Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.” Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.” “Oh! Sedap ikan bawal ni.”

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyiksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Tuhan. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!

APALAH YANG ADA PADA PARAS RUPA

Kalau seseorang itu cantik, menarik dan tampan dan pandai pula bergaya dan berpakaian, ramai orang suka memandang. Ada tarikan. Ramai yang suka berkenalan. Bahkan ramai yang akan terpikat, ingin dibuat teman atau pacaran. Dia akan jadi rebutan.

Namun, apalah harga sekujur tubuh walaupun cantik dan memikat. Apalah nilai sekeping jasad yang indah mata memandang. Yang rambutnya ikal mayang. Hidung bak seludang. Bibir bak delima merekah. Pipi bak pauh dilayang. Yang pinggangnya ramping, dadanya bidang. Tetapi akalnya kurang .

Akal yang tidak ada ilmu. Bodoh, tidak tahu dan tidak faham. Tidak bisa dibawa berbincang. Tidak ada pendapat atau buah fikiran. Semua persoalan dijawab dengan senyuman kosong yang tidak mempunyai arti apa-apa.

Lebih-lebih lagilah kalau dia gila dan kurang siuman. Percakapannya tidak logik dan tidak seimbang. Hanya meracau-racau, tidak ada pertimbangan. Apa yang salah pada orang, betul pada dia. Apa yang betul pada orang, salah pada dia. Dia anggap semua orang lain gila. Dia saja yang tidak gila. Itulah tanda dia gila .

Kalau bodoh atau gila, cantik macam manapun tidak diambil kira. Jasad dan tubuh akan hilang cantiknya kalau bodoh atau gila. Akal itu lebih utama dari paras rupa. Malahan kecantikan rupa paras hanya akan terlihat bila kita ada akal yang sempurna .

Namun, apalah harga sebuah akal walaupun bijak dan berilmu. Apalah nilai sebuah akal yang tahu segala sesuatu. Pandai berhujah, pandai menyelidik, pandai mengkaji dan pandai merumuskan sesuatu. Kalau hati gelap dan kotor .

Hati yang penuh dengan dosa dan noda. Hati yang penuh dengan bermacam-macam sifat kotor dan keji. Khianat, bakhil, kasar, pemarah, angkuh, sombong, penting diri, buruk sangka, hasad dan dengki. Nafsu yang rakus dan buas macam kuda liar. Meronta-ronta hendak merebut dunia seolah-olah tidak akan mati.

Lebih-lebih lagilah hati yang tidak kenal Tuhan. Yang tidak cinta dan takut dengan Tuhan. Yang telah menabalkan nafsunya sendiri menjadi Tuhan. Tidak ada akhlak kepada Tuhan. Tidak ada akhlak sesama manusia.

Apa artinya orang yang kacak, cantik dan tampan, mempunyai akal yang bijak dan tajam, tetapi jahat dan tidak berakhlak. Kufur kepada Tuhan. Kasar pada manusia. Menindas, menekan dan menzalimi manusia. Kacak dan baguskah orang seperti ini? Cantik dan tampankah orang yang seperti ini? Kalau pun cantik, kalau pun tampan, semuanya akan tenggelam di dalam kejahatan dan kehinaan peribadinya. Orang akan benci. Orang akan marah. Kepintaran akal dan kecantikan paras rupanya akan hilang dan menjadi samar .

Hati dan rohlah yang paling berpengaruh. Kalau hati baik dan luhur, ia akan terpancar kepada akal dan jasad. Hati dan roh itu adalah hakikat diri manusia . Berusahalah untuk mencantikkan hati . Kecantikan hati itu lebih utama dari kecantikan akal dan paras rupa . Kecantikan akal dan paras rupa akan habis di dunia. Kecantikan hati akan bersinar sampai bila-bila, kekal tanpa penghujungnyasampai ke Akhirat.